Libasan 1 – Kejahatan Mengintip

“Bukan Tuhan tidak sayang kita,
namun itulah resminya hidup,
teruji.”

 

Mus’ab berdiri menghadap sebilah katana yang tergantung melintang pada satu sudut rumahnya. Fajar belum menunjukkan diri. Justeru, tingkap berdekatan gelap walaupun langsir sudah disingsing. Dua tangan bersilang pada dada.

              Muramasa.

              Itu nama katana tersebut. Semenjak bernikah dengan isterinya sekitar lima tahun yang lalu, senjata itu telah diljadikan hiasan dinding. Tidak sesaat pun si isteri tahu bahawa katana itu merupakan senjata yang sebenar. Dia sendiri berbohong dengan menyatakan bahawa senjata itu hanya replika, kenang-kenangan selepas dia menamatkan pengajian di negara Matahari Terbit.

              Tetapi kini isterinya telah mengetahui.

              “Ini, salah satu katana lagenda yang abang ceritakan semalam?” Suara isterinya menerjah gegendang telinga.

              Dia tidak terkejut. Langkahan si isteri merapati didengarinya dengan jelas. Bahkan mereka baru sahaja usai menunaikan solat bersama-sama sebentar tadi. Kini, wanita yang amat dicintainya itu sedang berdiri di sisi.

              Daripada pernafasan si isteri , dia dapat menjangka bahawa segala-gala yang diluahkannya semalam, sukar dicerna. Mereka sama-sama tidak memejamkan mata semenjak malam tadi. Dia telah menceritakan segala-galanya sehingga azan Subuh berkumandang.

              “Sayangku Laila, apakah sayang menyesali apa yang terjadi? Memilih abang sebagai suami?”

Dia memberanikan diri bertanya. Tetapi tidak berani memandang wajah isterinya. Dia tidak mahu melihat kekecewaan. Cukuplah wajah tercengang lagi terpinga-pinga si isteri sepanjang penceritaannya semalam membuatkan dia rawan.

              Tanpa disangka-sangka, dirasakan bahunya disentuh. Kemudian, tangan yang sama merayap ke belakang tubuhnya, menggosok-gosok, sebelum tubuhnya dipeluk erat. Pelukan itu sangat kejap.

              “Terkejut. Tidak dinafikan.”

Mus’ab menunduk, dadanya berdegup kencang, risau dia tidak menggemari jawapan Laila yang seterusnya.

“Tetapi saya yakin, apa yang berlaku ada hikmahnya.”

              Balasan itu membuatkan degupan jantungnya surut dan kembali tenang.

              “Sayang tak rasa Allah SWT masih tidak mahu mengampunkan abang?”

Mus’ab memejamkan mata. Jiwanya perit.

              “Bersangka baiklah kepada Allah, abang. Bukankah kita dididik dalam usrah untuk bersangka baik dengan-Nya. Semua yang berlaku ada hikmah.”

              “Itukah yang sayang sedang lakukan? Bersangka baik kepada Allah SWT?”

              Dia dapat merasakan anggukan Laila. Wajah wanita itu masih lekat pada tubuhnya. Mus’ab menghela nafas.

“Bagaimana sayang mudah melakukannya? Sedangkan abang merasakan ia perkara yang berat.”

              “Tidak mudah. Pelbagai persoalan menyerbu. Tetapi itulah dia makna ujian. Ia datang menguji. Sekiranya ujian itu mudah, maka berbaloikah ganjaran dan pembalasan?”

              Mus’ab tersentuh. Dia berpaling kepada Laila. Tangannya mendapatkan wajah isteri yang sangat dikasihi itu. Wajah Laila dipandu agar mata mereka bertentangan.

              “Sayang terlalu baik untuk abang. Selama ini memandu dengan penuh berhemah ke arah Islam, ke arah keimanan. Entah apa kebaikan yang pernah abang lakukan, untuk berhak mendapat isteri seindah sayang.”

              Laila tersenyum manis. Dan senyuman itu adalah senyuman paling manis buat Mus’ab di seluruh dunia ini. Senyuman yang memudarkan gundah. Senyuman yang menyahkan gelita dalam jiwa.

              “Abang sekadar merendah diri. Walhal, abang yang perkenalkan jalan ini kepada saya. Allah jualah yang sebenarnya memberikan hidayah. Kita sebagai manusia hanya berusaha.”

Dadanya ditepuk lembut. Ironik. Di hadapan katana yang meragut sekian banyak nyawa, dia terasa hidup dalam dakapan si isteri .

              “Apa perancangan abang seterusnya?”

              Mus’ab menghela nafas. Soalan yang berat. Kemudian, dia menggeleng.

              “Tidak pasti. Sehingga hari ini, selain peristiwa bersama Mitsuhide sekitar setahun lalu, masih tidak ada apa-apa yang berlaku.”

              “Jadi abang menganggap mimpi kebelakangan ini hanya mainan tidur?”

              Mus’ab teragak-agak untuk mengangguk. “Atau mungkin hasil tekanan psikologi, kesan abang menyembunyikan semua ini daripada sayang.”

              “Mungkin juga Allah SWT hendak memberikan ilham kepada abang, untuk lebih berhati-hati? Tidakkah abang risau Ryuken akan memburu kita?”

Laila merenggangkan sedikit dakapannya. Wajahnya menatap Mus’ab.

              Mus’ab terdiam. Itu memang merupakan kerisauannya kebelakangan ini. Tetapi setahun ini, tiada apa-apa tindakan daripada Ryuken. Hatinya cuba memujuk diri dengan menyatakan Ryuken mungkin sibuk menguruskan kesan kejatuhan Mitsuhide, sehingga terlupa untuk menguruskan kedegilannya dalam menyahut seruan. Tambahan, sekiranya pengkhianatannya disedari, Ryuken tidak akan bertindak dengan menghantar operatif picisan.

              Syaitan Bertujuh pasti akan digerakkan.

              Namun, Ryuken selama ini sangat berhati-hati. Dengan ketiadaan proksi di Malaysia, mereka pasti tidak akan mahu membahayakan operatif mereka yang sangat berharga itu. Tetapi untuk melepaskannya begitu sahaja? Hampir mustahil. Dia kenal organisasi itu. Dia mendewasa dalam organisasi tersebut. Ryuken bukan organisasi yang sewenang-wenang membiarkan pengkhianat. Lambat laun pasti pembalasan akan datang daripada mereka.

Persoalannya, dia mahu bermula dari mana? Mustahil dia perlu ke Jepun untuk menyelesaikan semua ini? Berhadapan dengan Ryuken sendirian? Mustahil!

              Dia menatap wajah Laila. Seakan-akan mahu mencari jawapan.

              “Saya cadangkan abang serah diri.” Laila berbicara lembut.

              Mata Mus’ab terbeliak. “Apa?”

              “Abang serah diri. Ceritakan hal ini pada pihak berkuasa. Mungkin mereka dapat membantu.”

              “Sayang tidak kisahkah sekiranya abang ditangkap?” Mus’ab ragu-ragu.

              “Mestilah saya kisah. Bukankah saya isteri abang? Saya pasti mahu anak kita membesar dengan bapanya ada bersama-sama.” Laila mengeratkan dakapannya kembali. “Tetapi saya juga tidak mahu perkara buruk berlaku ke atas abang dan keluarga kita.”

              Mus’ab menghela nafas panjang. Matanya kembali jatuh kepada Muramasa.

              Katana itu mendapat nama daripada penempanya, Muramasa, yang dikatakan gilakan darah, menjadikan dirinya seorang yang suka membunuh. Mengikut lagenda masyarakat Jepun, pedang-pedang yang ditempa Muramasa diresapi semangat penempanya itu, menjadikan sesiapa yang menggunakan senjata tersebut, sama ada menjadi alogojo yang sentiasa dahagakan darah, atau akhirnya akan membunuh dirinya sendiri.

              Mus’ab sudah lama meninggalkan kepercayaan-kepercayaan sedemikian. Semenjak kembali kepada Islam dan mengikuti tarbiah di bawah organisasi kemanusiaan bernama INSANI, Mus’ab telah meninggalkan segala mitos, lagenda dan kepercayaan karut.

              Walaupun dia mengakui kadangkala dia mempunyai persoalan dan keraguan terhadap Islam, terhadap Allah SWT, tetapi dia amat percaya tanpa mampu disangkal lagi bahawa kehidupannya selepas kembali mengamalkan Islam yang sebenar, menjadi lebih tenang dan bahagia.

              Muramasa tidak sepatutnya keluar daripada sarungnya.

              Dia sendiri telah kembali meletakkan gari pada senjata tersebut agar tidak mudah dihunus.

              Namun, dia terasa seperti Muramasa memanggilnya.

              “Abang akan pertahankan sayang dan Marwan.”

Nama anaknya disebut. Dakapan Laila dibalas dengan tangan kanannya erat merangkul pinggang si isteri .

              “Abang akan pertimbangkan cadangan sayang.”

Dagu Laila diangkat. Bibir wanita itu dikucupnya dengan penuh cinta.

***

“Tidak sangka.”

Lelaki berkepala botak, berpakaian serba hitam, kedua-dua belah tangannya berbalut dengan kain yang tebal. Dia mengurut-ngurut kumis sambil duduk di sofa empuk. Pada sisinya terdapat dua batang tonfa. Paparan video yang dilihatnya menjemput takjub ke dalam hati.

              “Ryujin.”

Seorang perempuan, mengenakan pakaian agak ketat sambil dilindungi sehelai jaket labuh, rambutnya pendek, telinganya beranting-anting bulat, gincunya tebal dan matanya bercelak. Tangannya yang mencekak pinggang, membuatkan jaket itu sedikit terdedah, mempaparkan puluhan pisau kecil yang tersisip pada bahagian dalam jaket tersebut.

              “Dia sahaja bergerak sedemikian rupa. Mencantas lawan dengan pergerakan pantas, bersama-sama darah memercik di sini dan sana.”

Lelaki berambut hitam panjang melepasi bahu, menunjuk ke arah skrin. Berjanggut nipis, mengenakan jaket hitam dan berseluar jeans. Pada pinggangnya tersangkut kusagirama.

              Ketiga-tiga mereka kemudiannya memandang kepada seorang lelaki berambut kemas, berpakaian kemeja, berkot serba hitam.

              “Di manakah Kawakami?” Lelaki itu bertanya.

              Ketiga-tiga mereka saling berpandangan. Kemudian, mengungkit bahu.

              Lelaki itu menghela nafas. Menggeleng. “Orang tua.”

              “Jangan kurang ajar, Nobu.” Lelaki berambut panjang melepasi bahu itu bersuara.

              Nobu sekadar tersengih.

              “Nobu, Tomoe dan Goro di mana?” Lelaki berkepala botak bertanya.

              “Aku sudah arahkan mereka ke Malaysia, Akechi.”

              “Hmmm, kenapa engkau tidak suruh aku?” Akechi menyeringai lebar. “Pasti seronok di sana.”

              “Koro telah memberikan arahan, sebagaimana yang kalian ketahui, untuk kita menguruskan Ryujin. Dia kini menjadi liabiliti kepada Ryuken.”

              “Mengapa perlu gelisah sehingga mengumpulkan kita semua? Bukankah Tomoe dan Goro sudah ke sana? Engkau mahu kami semua buat apa?” Perempuan berambut pendek itu menyilangkan tangan pada dadanya.

              “Kita berlima ada misi lain, Chiyome. Koro telah memberikan arahan.”

              “Jadi buat apa engkau paparkan video Ryujin ini kepada kami?” Lelaki berambut panjang mengerutkan dahi.

              “Supaya kita sedar yang kini kita ada ancaman, Masamune.”

              Akechi, Chiyome dan Masamune memandang tepat ke arah Nobu.

              “Engkau rasa terancam dengan Ryujin, Nobu?” Masamune bersuara. Matanya tajam menentang pandangan Nobu.

              Nobu tidak memberikan apa-apa reaksi balas. Hanya memandang Masamune dengan tenang.

              “Tidak. Jika ya, aku akan kerahkan kita semua ke Malaysia, berada dalam satu misi bersama Tomoe dan Goro. Tetapi aku percaya Tomoe dan Goro akan menyelesaikan tanggungjawab mereka di sana. Koro yang meminta perkara ini dibawa kepada kita semua. Melihat penentangan Ryujin, Koro menganggap kita perlu mempercepatkan proses.”

              “Apa lagi yang Koro perlukan?” Akechi bertanya, tangan masih tidak lepas daripada kumisnya.

              Nobu tersenyum.

              “Elemen Baru.”

              Akechi, Chiyome dan Masamune sama-sama membeliakkan mata.

***

Mus’ab menanti di kereta. Dia baru selesai menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pensyarah Bahasa Jepun di Universiti Iman Ihsan, Kotaraya Angsana. Universiti Iman Ihsan turut menyediakan nurseri dan tadika untuk anak-anak pekerjanya. Kebiasaannya, selepas tamat waktu bekerja, Mus’ab sekadar perlu menanti di kenderaannya, yang sering diparkir betul-betul berhadapan kawasan tadika.

              Walaupun agak jauh dari pejabatnya, Mus’ab tidak lelah untuk berjalan jauh. Sudah menjadi kebiasaan dan dia menganggap itu sebagai satu riadah. Tambahan, kebahagiaan setiap kali habis waktu bekerja, untuk melihat anak lelakinya keluar dari tadika dengan wajah penuh kegembiraan, merawat lelahnya mengharungi kehidupan.

              “Ayah!”

Mus’ab memandang ke arah tadika. Kelihatan kanak-kanak mulai keluar dari bangunan tersebut sambil dikawal oleh guru-guru. Seorang budak lelaki, berambut pendek, sedang melambai-lambai ke arahnya.

              Mus’ab tersenyum lebar. Segera membuka langkah menghampiri perkarangan tadika itu.

              Budak lelaki itu dibenarkan oleh gurunya untuk keluar dari pagar bangunan. Segera dia menerkam ke arah Mus’ab dan mereka berdakapan.

              “Marwan, macam mana hari ini?”

              “Seronok! Hari ini kami belajar baca doa naik kenderaan.”

              Mus’ab tersenyum sambil menepuk-nepuk belakang tubuh anaknya, sebelum bangkit, dan memimpin Marwan ke kenderaan.

              “Apa lagi yang cikgu ajar?”

              “Menghormati ibu bapa, guru dan rakan-rakan!”

              Kemudian, Marwan mula berceloteh akan apa yang diajarkan guru-gurunya secara terperinci. Mus’ab sekadar tertawa dan menyediakan telinganya untuk mendengar.

              Marwan sangat penting bagi dirinya. Bukan sekadar sebagai seorang anak, tetapi juga sebagai sebuah perlambangan janji. Janji untuk melihat anaknya itu tidak membesar sepertinya. Penuh tragedi dan kehancuran.

              Bapanya, Umayr, seorang usahawan yang berjaya. Walaupun tidak sehebat sepuluh Jutawan Islam yang merintis kemajuan teknologi dan memperkasa ekonomi Malaysia sehingga negara ini makmur seperti hari ini, bapanya sangat berjaya.

              Ketika dia berusia sepuluh tahun, bapanya telah membawa mereka sekeluarga bercuti di Jepun. Mereka melawati pulau-pulau yang indah di sana. Letusan gunung berapi di dasar laut telah menghasilkan tsunami yang memukul kapal yang mereka naiki. Kapal itu karam, meragut nyawa kedua-dua orang tuanya. Manakala Mus’ab pula, secara ajaib, terselamat dan tersadai di sebuah pantai.

Di sana, dia ditemui seorang lelaki.

              “Ayah,”

Lamunannya terpotong. Tangannya ditarik-tarik Marwan.

              “Ya, sayang?”

              “Kenapa Marwan rasa orang itu asyik tengok kita sahaja?”

              Marwan menunjuk ke satu arah. Tidak jauh dari tempat parkir, terdapat sebuah tempat menunggu bas. Terdapat beberapa pelajar Universiti Iman Ihsan yang sedang menanti pengangkutan awam.

              Mus’ab mengerutkan dahi. Dia tidak perasan sesiapa yang memerhatikannya.

              “Tak ada pun.” Mus’ab memandang kepada Marwan.

              “Tadi ada. Kemudian dia sudah hilang.”

              Jiwa Mus’ab diserang perasaan tidak enak. “Tak apalah, cepat masuk kereta. Ibu tunggu kita ambil dia pulang dari tempat kerja pula. Marwan tak mahu ibu tunggu lama-lama,  bukan?”

              Marwan mengangguk. “Marwan sayang ibu!”

              “Anak soleh.”

Pintu kenderaan dibuka. Sebelum Mus’ab memasuki tempat pemandu, dia memerhatikan keadaan sekeliling. Dia cuba memujuk hati bahawa Marwan mungkin tersalah pandang sahaja. Tetapi, mimpi buruknya menjengah.

              Perasaan tidak enak menyerbu.

              Mus’ab masuk ke dalam kereta, menghidupkan enjin dan terus bergerak keluar dari perkarangan universiti.

***

Dia melangkah keluar dari penghadang tempat menunggu bas. Sebagai seorang ninja, bukanlah suatu kesukaran untuk dia menghilang daripada pandangan. Apatah lagi apabila terdapat ramai orang di sekeliling.

              Dia hanya orang bawahan Ryuken. Salah seorang daripada sekelompok kecil operatif yang masih berada di Malaysia, menjalankan kerja-kerja pengintipan. Selepas tumbangnya Organisasi Hitam, dunia gelap di Malaysia telah kucar-kacir.

Kini, tiada langsung organisasi yang menaungi penjenayah-penjenayah di negara ini. Mereka telah diburu habis-habisan. Khabarnya, ‘Izrail’ telah menyerah diri kepada Inteligen Kerajaan Malaysia dan memecahkan rahsia. Dunia gelap yang telah menerima tamparan hebat dengan perubahan Malaysia sepanjang sedekad yang lepas, kini tinggal nyawa-nyawa ikan.

              Ryuken melihat kejadian itu sebagai sebuah kegagalan yang besar. Buat kesekian kalinya, organisasi itu telah gagal memberikan gegaran kepada negara berdaulat ini.

              Kini, Ryuken tidak lagi menaungi mana-mana organisasi dunia gelap baharu yang memberanikan diri untuk mencabar Kerajaan Malaysia. Ryuken hanya menghantar sekitar lima orang operatif, untuk melakukan intipan serta misi-misi espionaj seperti rampasan data di Inteligen Kerajaan Malaysia baru-baru ini. Pun tidak memberikan apa-apa hasil yang besar. Kawalan terlalu ketat.

              Malaysia benar-benar telah menjadi sebuah negara yang kukuh. Sukar ditembusi musuh. Beberapa peristiwa kebelakangan ini telah menjadikan negara ini semakin kuat dan menggerunkan lawan.

              Ryuken tidak dapat membenarkan perkara ini terus berlanjutan.

              Kini, organisasi itu telah mengarahkan mereka memburu seorang lelaki bernama Mus’ab bin Umayr. Dia ditugaskan mengekori lelaki ini ke mana sahaja untuk mengetahui rutinnya, juga kelemahan-kelemahan yang boleh dieksploitasi.

              Kerana tidak lama lagi, wakil daripada Samurai Bertujuh akan tiba untuk menjatuhkan hukuman kepada pengkhianat tersebut.

              Sebagai orang bawahan, dia tidak tahu banyak berkenaan misi terkini Ryuken. Tetapi dia dimaklumkan bahawa lelaki bernama Mus’ab bin Umayr ini kemungkinan besar boleh membawa masalah terhadap misi besar Ryuken. Sebelum itu berlaku, Mus’ab itu mesti dihapuskan.

              Melihat kereta yang dipandu Mus’ab hilang daripada pandangan, dia membuka langkah dan meninggalkan tempat menunggu bas itu. Kereta Mus’ab sudah dipasang alat pengesan.

              Kerjanya akan bertambah mudah.

***

“Hmm, menarik.”

              “Apa yang menarik?” Faisal mengerutkan dahi memandang Bakri.

              Dia dan pemuda itu sekadar berpakaian kasual, berjalan-jalan di sekitar Kotaraya Angsana. Namun, perjalanan mereka kini sedang membawa mereka ke sebuah pusat pendidikan.

              “Ini tempat aku belajar.” Bakri menuding ke arah pintu gerbang Universiti Iman Ihsan.

              “Kita hendak mencari Samurai Melayu itu atau engkau hendak bawa aku jalan-jalan melihat tempat engkau belajar?” Faisal tertawa.

              Bakri turut tertawa. “Kebetulan. Aku cuba ekori bau seorang ninja sebenarnya. Dan bau itu bawa kita ke mari.”

              “Engkau salah bau kot.”

              “Hei, janganlah begitu.” Bakri menghela nafas. Seperti sedang berfikir.

              “Tak nak masuk?” Faisal bertanya apabila Bakri terus mendiamkan diri.

              “Pemilik bau itu sedang bergerak. Pantas dan jauh …” Bakri cuba menghidu beberapa kali lagi. “… dan dia telah menghilang.”

              “Sebenarnya bau apa yang engkau sedang ekori?” Faisal mengerutkan dahi.

              “Di Nobu Tech, ketika aku kembali ke tempat kejadian, bau besi memenuhi tempat itu.”

              “Nama pun kilang.”

              Bakri menggeleng. “Besi yang aku maksudkan ialah senjata-senjata yang diguna oleh ninja. Organisasi Mitsuhide menggunakan ninja sebagai tentera mereka, sebagaimana Organisasi Hitam menggunakan kau dan pembunuh-pembunuh profesional.”

              “Ya, mereka menyimpan banyak senjata pada tubuh.” Faisal mengingati pertarungannya dengan ninja-ninja di Nobu Tech.

              “Senjata mereka ada bau yang unik, kerana aku yakin semuanya ditempa pada tempat yang sama. Aku ekori bau itu.”

              “Oh.” Faisal memahami. Seketika kemudian, keningnya terangkat. “Tetapi kita mahu mendapatkan Samurai Melayu, bukan?”

              Bakri tersenyum. “Sebab itu aku kata, jangan pandang rendah kepada Pemburu.”

Bahu Faisal ditepuk-tepuk. Faisal tertawa dengan ulah Bakri.

“Samurai Melayu ini telah berkonfrontasi dengan Mitsuhide. Baru-baru ini pula, antara video yang disalin ialah video berkenaan dengannya. Ada banyak data lain boleh disalin, tetapi video tersebut diberikan prioriti.”

              “Itu kita sudah tahu.”

              “Bermakna, Samurai Melayu sedang diburu. Oleh kerana kita tak ada apa-apa yang boleh digunakan untuk mencari Samurai Melayu, aku cari pihak yang memburunya terlebih dahulu.”

              “Ha, aku sudah berjumpa dengannya!” Faisal meninggikan suara, memandang ke satu arah.

              “Mana?” Bakri menoleh ke arah yang sama, sambil hidungnya cuba untuk menghidu jejak sasarannya.

              Tiada sesiapa yang mencurigakan. Tiada bau yang dicari. Kemudian, telinganya menengar tawa Faisal.

              “Engkaulah sedang memburunya. Engkau kan Pemburu.”

              “Cis.” Tubuh Faisal ditumbuk lembut. “Ada patut buat loyar buruk macam itu.”

              Faisal tertawa sahaja. “Jadi, apa yang patut kita lakukan sekarang?”

              “Engkaulah bagi idea pula.” Bakri mencebik.

              Faisal tersenyum. “Baik. Jom.” Faisal membuka langkah. “Kita balik ke hotel dahulu. Bersiap.”

              Bakri mengerutkan dahi. Tidak terus mengekori Faisal.

              “Eh, kenapa kena balik hotel bersiap pula?”

              Faisal sekadar mengangkat tangan dan memberikan isyarat agar Bakri segera mengekorinya. Bakri menggeleng sambil menghela nafas. Memandangkan usahanya tidak membuahkan hasil yang memuaskan, ada baiknya dia mengikut sahaja apa yang Faisal mahu lakukan.

              Lelaki itu bukan calang-calang sebenarnya.

              Mungkin kerana kisah silamnya yang terlampau hitam, dia melihat Faisal ralat untuk menggunakan kebolehannya hingga ke tahap maksimum. Terlampau banyak kenangan pahit, mungkin. Kerana itu dia melihat Faisal banyak mengikutinya sahaja, berbanding memberikan pandangan tersendiri.

              Bakri membuka langkah.

***

“Abang,”

              Panggilan Laila itu tidak mendapat apa-apa respons. Dia sibuk mengemaskan pakaian isterinya.

              “Abang!”

Suara Laila sedikit meninggi. Barulah Mus’ab berpaling menatap wajah isterinya. Muka si isteri  mendung dengan kerisauan.

              “Apa yang telah berlaku?”

              “Sayang dan Marwan kena pergi jauh dari sini.”

Mus’ab melangkah merapatkan dirinya kepada Laila. Kedua-dua lengan isterinya dicapai.

              “Kenapa?”

              “Abang rasa tak sedap hati. Abang risau keselamatan sayang dan anak kita.” Matanya cuba meminta Laila memahami.

              Laila menghela nafas berat. “Apakah Abang mendapat apa-apa ancaman terkini?”

              Mus’ab menggeleng. “Sekadar berhati-hati. Abang tidak boleh bergerak lebih lancar sekiranya sayang dan anak kita terancam.”

              Laila mengerutkan dahi. Mus’ab menatap mata isterinya dalam-dalam. Dia tahu si isteri  punya banyak persoalan mengenai tindakannya. Pandangan matanya mengharap si isteri tidak terlalu banyak bertanya, dan sekadar percayakan tindakannya.           

              “Abang telah buat keputusan untuk tidak menyerah diri kepada polis? Abang memilih untuk berhadapan dengan mereka? Itu yang abang maksudkan dengan ‘bergerak lebih lancar’?”

              “Pihak polis tidak akan mampu berbuat apa-apa, sayang.”

              “Mana abang tahu? Kita belum mencuba lagi. Bukankah Malaysia kini sudah berdiri sama tinggi dengan kuasa-kuasa besar dunia? Pihak berkuasa kita bukan lekeh!” Laila mengingatkan. Air mata mula meleleh membasahi pipi.

              Mus’ab menghela nafas. Perit. Segera diseka air mata isterinya. Tidak pernah dia melukakan hati isterinya. Laila tidak pernah menangis kesedihan sepanjang mereka berumahtangga.

              Ini kali pertama.

              “Abang sangat kenal dengan Ryuken. Mereka bukan organisasi gelap picisan. Ya, pihak berkuasa kita hebat. Kini Malaysia sudah jauh ke hadapan. Abang melihat semua itu. Tetapi tidak cukup untuk berhadapan organisasi seperti Ryuken. Mereka ada ninja-ninja yang boleh menyusup dan mengekori orang dengan senyap tanpa disedari. Dan mereka ada pahlawan-pahlawan berkelas tinggi yang kehebatannya sukar ditelan akal.”

              Laila terdiam. Tinggal sedu.

              “Mereka tidak kisah sama ada mangsa mereka orang tua, wanita atau anak kecil. Mereka tidak akan berfikir dua kali sebelum meragut nyawa seseorang.”

              Mus’ab melepaskan tangannya daripada tubuh Laila, dan berpaling. Menundukkan wajah. “Abang tidak mahu sayang dan Marwan terperangkap dalam konflik ini.”

              “Abang …” Laila merapati dirinya. Memeluknya dari belakang.

              “Biar Abang berhadapan dengan mereka. Biar ini semua selesai segera dan tidak berpanjangan sehingga mengancam nyawa mereka yang tidak berkenaan.”

              Tangan si isteri  yang sedang merangkul pinggangnya itu dicapai.

              “Sayang dan Marwan baliklah ke rumah ummi, abah. Ambil cuti selama sebulan tanpa gaji. Insya-Allah, duit kita mencukupi. Dalam pada masa, abang akan cuba selesaikan persengketaan ini.”

              “Bagaimana jika sebulan tidak mencukupi? Bagaimana jika abang diragut pergi daripada kami?”

Mus’ab dapat merasakan belakang tubuhnya basah dengan air mata. Jiwanya terluka. Hanya Tuhan yang tahu peritnya. Dia tidak mampu berhadap dengan situasi begini.

“Ketika itu, terujilah keimanan yang selama ini Laila sering sebutkan itu.”

Dan Mus’ab mendengar Laila semakin teresak-esak usai jawapannya. Dia tidak pasti hendak berbuat apa lagi. Keutamaannya kini adalah keselamatan isteri dan anaknya.

“Kenapa ibu menangis?”

Suara Marwan kedengaran. Pantas Mus’ab memandang ke arah pintu bilik. Anaknya itu sedang menyeret sebilah katana mainan.

Jiwa Mus’ab tersentuh.

Laila segera mendapatkan Marwan. Melangkah sambil menyeka air mata. Anak itu didukungnya. Matanya dan mata Laila bertembung. Sedu mengisi suasana.

“Mata ibu masuk habuk, sayang.” Laila menjawab sambil melangkah keluar dari bilik.

Mus’ab menganggap itu sebagai tanda isterinya bersetuju untuk mengalah dan akur akan perancangannya. Dia menghela nafas panjang. Kembali mendekati pakaian-pakaian yang mahu dimasukkan ke dalam beg.

Namun, dia kemudiannya terhenti. Kedua-dua penumbuknya dikepal erat.