Mengangkat Elemen Tempatan Dalam Karya – Mengapa?

Selama saya berkarya, saya tidak begitu ambil pusing dengan elemen tempatan. Tambah pula saya ada fahaman yang sedikit alergik dengan tema bangsa, kerana terdidik dari kecil membenci sikap asobiyah(berpuak-puak) dan ananiah(keakuan).

Namun semakin saya dewasa kini, saya perasan bahawa tidak wajar membenci sikap asobiyah dan ananiah sehingga membenci keunikan bangsa sendiri.

Tambahan, Allah SWT berfirman: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” Surah Al-Hujurat ayat 13.

Penciptaan kepelbagaian bangsa dan puak itu adalah untuk saling berkenal-kenalan. Sudah pastilah di sana wajar bagi kita mengenali bangsa sendiri juga. Bagaimana nak hargai keunikan dan kelainan bangsa lain sekiranya dengan bangsa sendiri pun kita alergik dan tak hargai?

Inspirasi dari Filem Korea, The Parasite

Saya terkejut bercampur kagum apabila mendapat tahu yang Filem The Parasite dari Korea memenangi Oscar dalam kategori Best Motion Picture of The Year pada tahun 2020.

Apabila saya menonton filem tersebut, saya lihat filem itu tidak menjadi filem barat. Tetapi tanpa segan dan malu mengangkat realiti kehidupan rakyat Korea. Menggunakan pelakon Korea. Filemnya pun berbahasa Korea.

Tetapi menang anugerah paling berprestij di dunia barat, yakni Oscar. Tanpa perlu mereka mengangkat elemen-elemen barat, menggunakan pelakon orang putih atau berbahasa inggeris.

Terdetik di dalam hati saya, kenapa tidak sedemikian saya menghargai nilai tempatan dalam karya-karya saya?

CUBAAN PERTAMA

Jika rakan-rakan pernah membaca siri Hikayat Satria-Satria Sejati, dalam buku ke-5, watak-watak utama dibawa ke sebuah kerajaan bernama Bustanati.

Menggambarkan kerajaan itu, saya gunakan elemen-elemen nusantara. Watak-wataknya berkeris, bertanjak. Rumah dan istana di dalam kerajaan tersebut digambarkan sebagaimana zaman nusantara klasik. Demikian bahasa yang digunakan mereka.

Ramai juga pembaca memberikan pujian dan suka dengan elemen nusantara yang saya guna pakai. Saya sendiri sebagai penulis, bagai terasa jiwa ini pulang ke kampung halaman. Saya jumpa keseronokan dan rasa izzah apabila lebih mengenali elemen dari tanah air sendiri.

Nirnama – Percubaan Serius

Dengan semangat baru itu, saya cadangkan kepada rakan saya yang bekerja sebagai pembuat game untuk buat game bertemakan nusantara. Sahabat saya itu menyuruh saya bentangkan idea game nusantara yang saya inginkan. Tatkala saya memikirkan idea itu, saya kata kepada diri saya, baik saya usahakan novel sendiri.

Maka terhasil lah Nirnama. Dengan lebih serius, saya fokus mengangkat elemen-elemen tempatan. Latar nusantara, bersulam mitos dan legenda-legenda tempatan, di samping pergi lebih jauh mengupah pengilustrasi supaya keindahan busana nusantara itu dapat dipamerkan. Bukan sahaja kita nak angkat elemen Nusantara, tapi kita angkat ajaran Islam, nilai-nilai murni yang diajarkan agama kita. Pamerkan bahawa kebaikan dan kesucian sikap itu datang dari ajaran agama ini.

Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka saya sendiri, Novel Nirnama mendapat sambutan teramat hangat. Pra-tempah tidak sampai sebulan, mencecah 8,500 tempahan. Kini Nirnama sudah terjual lebih 11,000 unit

Dalam perjalanan ini, pandangan saya bagai lebih terbuka. Saya nampak bahawa masyarakat kita sendiri dahagakan elemen-elemen tempatan diangkat. Kerana itulah identiti mereka. Itulah yang mereka boleh kaitkan dengan diri mereka dengan lebih rapat.

Tambah kita sedia maklum, bangsa Melayu sering dimomokkan dengan elemen-elemen negatif. Antara yang popular adalah sikap malas dan lupa. Padahal terlalu ramai orang Melayu yang hebat, yang baik, yang jujur, yang rajin, yang amanah. Tetapi kita malu nak angkat nilai-nilai itu dan padankan dengan watak berbangsa Melayu.

Saya terbaca firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah terlebih dahulu apa yang ada pada diri mereka.” Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Terkesan saya bila membaca ayat ini. Bagaimana nak ubah keadaan bangsa? Dengan mengubah apa yang ada pada diri mereka. Sering dimomokkan sebagai bangsa pemalas, pelupa. Mengapa kita tak ubah perkara itu? Kenapa kita tak cuba sinonimkan bangsa ini dengan kebaikan-kebaikan bertunjangkan ajaran Islam? Bukan untuk berbangga-bangga kosong, tetapi untuk menginspirasikan. Meniup semangat. Menanam cita-cita dan wawasan bahawa bangsa ini boleh berjaya. Boleh menjadi bangsa yang baik. Sepatutnya menjadi bangsa contoh. Kita wajar berikan keyakinan itu kepada bangsa sendiri. Bukan terus pesimis, negatif dan memomok-momokkan bangsa sendiri, sampai kita pun pergi sebut “Biasalah Orang Melayu, pemalas/penipu/pelupa/perasuah.” Sampai bila?

Sampai bila?

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *