Peluru 2 – Seruan

Pendakwah itu pelbagai rupa,
ada yang boleh dipercaya,
ada yang cuba memperdaya.
Dakwah itu seruan,
ada yang menyeru kepada Tuhan,
ada yang menyeret manusia kepada syaitan.

Faisal memeriksa telefon pintarnya, kemudian mengangkat wajah. Masjid di hadapannya sama dengan masjid yang terdapat di dalam fail kontrak. Entah mengapa, jiwanya berdebar-debar hendak melangkah masuk ke rumah Allah ini.

              Masjid ini terletak agak jauh dari Kotaraya Anggerik. Sekitar 40 minit perjalanan kereta. Kotaraya Anggerik berada di Johor Bahru, manakala Masjid Al-Iman ini terletak di kawasan Kangkar Pulai, di tengah-tengah Taman Pulai Indah.

              Faisal keluar daripada kenderaan mewahnya. Adiwira, jenama kereta mewah kebanggaan Malaysia. Setanding dengan jenama-jenama ternama di dunia hari ini, bahkan dikatakan lebih baik. Faisal melangkah ke dalam masjid.

              Suasana di sekelilingnya sudah mula gelap. Solat maghrib baru sahaja berakhir. Faisal ingin memerhatikan sasarannya dengan lebih dekat, dan mengikut maklumat yang diperolehi, sasarannya akan memberikan kuliah maghrib setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

              Seminggu telah berlalu semenjak kontrak diberikan kepadanya. Hari ini baru dia memulakan proses untuk menyelesaikan kontraknya. Biasanya Faisal akan menghadam terlebih dahulu deskripsi kontrak selama seminggu, merancang secara teori akan apa tindakan yang bakal diambil, seterusnya dia akan meluangkan masa sekitar seminggu lagi, memerhatikan sasarannya. Mencari ruang kelemahan, momen-momen yang boleh dijadikan peluang dan sebagainya.

              Faisal membuka kasut di hadapan tangga, sebelum melangkah masuk ke dalam masjid.

              Para jemaah sedang berkumpul. Rata-rata berjubah dan berkopiah, namun ada juga sebilangan besar yang mengenakan kemeja, kot dan pakaian riadhah. Menjadikan Faisal yang berbaju dan seluar kemeja bersama kot, tidak janggal di situ. Sememangnya Faisal tahu bahawa pengamalan Islam di Malaysia tidak lagi jumud dan sempit. Masjid benar-benar terbuka kepada semua, dan semua dialu-alukan ke masjid walau dalam apa gaya sekalipun. Perubahan sikap ini membuatkan lebih ramai masyarakat di Malaysia ini mesra masjid. Jadi ada antara mereka, apabila pulang lewat dari tempat kerja, singgah ke masjid terlebih dahulu untuk solat. Mereka tidak lagi dibebankan dengan tuntutan untuk menukar pakaian kerja atau pakaian sukan kepada pakaian ibadah. Selagi mana pakaian itu bersih dan suci dari najis, maka mereka tidak akan janggal mengenakannya untuk melakukan solat di masjid.

              Faisal membuka kot dan melabuhkan punggungnya berdekatan pintu masuk. Belakang tubuhnya menyandar ke dinding, sambil matanya memerhatikan lelaki berusia dalam lingkungan separuh dekad, berkopiah hitam, berbaju melayu, mengenakan rida’ dan bercermin mata, sedang khusyuk memberikan penyampaian.

              Imam Salman Al-Hafiz. Merupakan anak watan Johor yang kemudiannya menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Tinggal di sana selama 30 tahun, kemudian pulang ke Malaysia sekitar dua tahun yang lepas. Mengikut maklumat yang diperolehinya daripada kontrak, Imam Salman Al-Hafiz telah menghafal 30 juzu’ Al-Quran, dan mempunyai seorang isteri serta tiga orang anak. Isterinya merupakan orang arab mesir, menjadikan anak mereka sebagai kacukan melayu dan arab.

              Itu maklumat umum yang orang awam pun ketahui.

              Apa yang orang awam tidak tahu ialah, isteri kepada Salman Al-Hafiz punya hubungan dengan pengasas ISIS, Abu Bakr Al-Baghdadi. Hubungan yang tidak ramai tahu memandangkan mereka punya pertalian yang jauh. Kontrak menyatakan bahawa, kepulangan Salman Al-Hafiz bukanlah kepulangan anak watan ke tanah airnya. Tetapi pulang sebagai ejen kepada ISIS yang kini mengalami kegagalan di Timur Tengah, dan usaha untuk menghidupkannya kembali di Asia Tenggara.

              Dalam masa dua tahun ini, Salman Al-Hafiz telah membina rangkaiannya tersendiri di Johor, dan bersembunyi di balik nama Islam untuk menarik pengikut dan fanatik. Pun begitu, Salman Al-Hafiz bijak mengawal popularitinya, tidak muncul di mana-mana media sosial, tidak mempunyai data di internet, dan tidak membenarkan kuliahnya dirakam atau direkodkan kononnya untuk menjaga keikhlasan. Salman Al-Hafiz tidak mahu kehadirannya di Malaysia terlalu dirasai. Cukup sekadar untuk kawasan Kangkar Pulai dan sekitarnya, seperti Skudai dan Johor Bahru.

              “Sesungguhnya rakan-rakan pendengar yang saya kasihi kerana Allah, mati itu benar, hari kebangkitan itu benar, kedahsyatan kiamat itu benar, neraka itu benar. Semua itu bukan sekadar mekanisme untuk menakut-nakutkan manusia agar mentaati Allah SWT, tetapi memang satu realiti yang benar-benar wujud. Satu akibat yang pasti bagi mereka yang memilih untuk menderhakaiNya!” Salman Al-Hafiz melaung. Sekali-sekala kepalanya menunduk memandang kitab di atas meja.

              Para jemaah di masjid semuanya terangguk-angguk.

              Faisal menghela nafas.

              Setelah 22 tahun, ini kali pertama dia menjejakkan kakinya ke masjid. Bukan untuk bertaubat, bukan untuk membersihkan diri. Tetapi untuk memperluaskan lagi dosanya. Faisal mengkritik diri. Dia benar-benar buntu sebenarnya untuk keluar. Dan kadangkala dia terasa ingin memilih jalan mudah dengan menyumpah Tuhan yang telah mengaturkan kehidupannya sebegini rupa.

              “Rakan-rakan hadirin yang dimuliakan, sekiranya Allah SWT mengkehendaki seseorang itu kebaikan, Allah akan pilih! Manakala orang-orang yang Allah tidak pilih itu, ke neraka lah jawabnya.” Salman Al-Hafiz berbicara yakin.

              Faisal mendengus. Apakah dia yang dimaksudkan? Adakah dia tidak dipilih oleh Tuhan? Kerana itu kehidupannya sebegini?

              Seorang jemaah mengangkat tangan.

              “Ya saudara,” Salman Al-Hafiz mempelawa. “Silakan bertanya, jangan segan.”

              “Apakah tanda kita dipilih oleh Allah? Dan apakah orang yang tidak dipilih itu, memang gerenti tempatnya di neraka?” Lelaki muda, berkopiah, tetapi berkemeja, bangkit bertanya. Kemudian duduk semula.

              “Soalan yang bagus, anak muda. Soalan yang bagus.” Salman Al-Hafiz membetulkan kaca matanya.

              “Tanda kita dipilih oleh Allah ialah Allah akan menempatkan kita bersama orang-orang yang baik. Allah akan melorongkan kita kepada orang-orang yang baik. Allah akan meletakkan kita di tempat orang-orang yang benar! Orang-orang yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah yang suci!” Salman Al-Hafiz berbicara dengan penuh semangat. Tangan kanannya diangkat ke udara.

              “Manakala orang-orang yang tidak terpilih, Allah akan lorongkan mereka jalan kegelapan. Allah akan dekatkan mereka dengan maksiat. Allah akan sukarkan mereka untuk berubah. Itu tanda-tanda Allah telah berpaling daripada kita. Na’udzubillah! Jika hal demikian berlaku dan terjadi kepada kita, berjaga-jagalah. Risau sekiranya Allah telah menetapkan tempat kita memang di neraka. Tanda-tandanya sudah ada. Sudah terlalu ramai musuh Allah berselerak di negara ini!” Mata Salman menjegil, bicaranya penuh perasaan, riak wajahnya memainkan peranan untuk menarik fokus jemaah.

              Faisal terpukul beberapa kali dengan apa yang dinyatakan oleh Salman.

              Adakah Tuhan memang telah mentakdirkan dirinya ke neraka?

              Adakah kerana itu, kehidupannya diatur menjadi sebegini rupa?

              Perlahan-lahan dirinya mengimbau sejarah. Hari di mana kehidupannya berubah. Kali terakhir dia ke masjid. 22 tahun yang lampau.

              “Faisal, macam mana? Seronok?” Bapanya memandang kepadanya dengan wajah yang manis.

              “Seronok!”

              “Nak datang masjid lagi dengan Ayah?”

              Dia mengangguk laju. Mereka berdua berpimpin tangan menuju kenderaan. Tempat parkir sudah kosong, dan tinggal kereta milik bapanya sahaja, agak jauh dari masjid. Mereka datang lewat tadi. Hari ini ada penceramah terkenal datang ke masjid, menyebabkan parkir di padang berdekatan ini pun turut menjadi penuh dan padat.

              “Ummi!” Dia melambai tangan apabila melihat ibunya yang sedang setia menanti di sisi kereta. Lambaiannya dibalas, sambil senyuman manis lagi menenangkan dilemparkan oleh wanita bertelekung putih itu.

              Tangannya dilepaskan daripada pimpinan bapanya, dia berlari laju ke arah ibunya.

              “Hati-hati!” Bapanya melaung.

              “Ya Ayah!” Dia menyahut tanpa berpaling.

              Apabila sampai kepada ibunya, terus dirangkul erat wanita itu.

              “Seronok ke pergi masjid hari ini?”

              “Seronok! Nak pergi lagi!” Dia melompat-lompat kegembiraan.

              Ibu dan bapanya sekadar tersenyum. “Lepas ini abang dah bolehlah bawa Faisal ke masjid setiap hari.”

              Dia melihat bapanya mengangguk. Senyuman tidak lekang dari wajah ibu bapanya.

              “Maaf lewat keluar. Bersembang dengan Pak Imam tadi.”

              “Ah, apa khabar isteri dia? Dengar kata tidak sihat?”

              “Begitulah, sakit tua.” Bicara bapanya sambil membuka pintu kereta. “Faisal, ma…”

              Tiba-tiba bunyi dentuman kedengaran, diikuti dengan bunyi erangan. Kereta mereka bergegar. Sesuatu telah keluar dari semak berdekatan. Tidak lama selepas itu, keluar beberapa susuk tubuh, berpakaian serba hitam, dan hanya mendedahkan bahagian mata mereka sahaja. Ninja. Lima orang, bersama mereka pelbagai jenis senjata, kini mengelilingi kereta tersebut.

              Ibunya sudah menjerit. Bapanya memeluk mereka berdua.

              “Ya Allah, apa semua ini?”

              Kemudian kedengaran lagi bunyi hentakan dan kereta mereka bergegar. Faisal mengangkat wajahnya dan melihat seorang lelaki, berpakaian sut kemeja penuh, berkot jaket, sedang mengacukan dua pucuk pistol ke arah berlawanan, sambil memusingkan tubuhnya, di atas kenderaan mereka.

              Dia melepaskan tembakan dari kedua-dua muncung senjatanya.

              Ninja-ninja tersebut membuka langkah. Dua daripada mereka mengelak peluru-peluru tersebut dengan baik. Tetapi lelaki tersebut ternyata tidak gentar. Dia menahan serangan ninja yang terhampir, pengguna sabit kembar, dengan lengannya. Mata sabit hampir sahaja mencecah wajahnya. Seorang lagi ninja tiba dan menujah katana ke arah lelaki tersebut dari belakang. Namun membatalkan hasratnya apabila lelaki tersebut dengan pantas menunduk dan membawa rakannya untuk menerima serangan maut itu. Dua lagi ninja melemparkan shuriken, tetapi lelaki tersebut dengan tangkas mengelak dengan menunduk dan berguling. Seorang lagi menggunakan tongkat, turun dari udara dan menujah senjatanya ke wajah lelaki tersebut. Lelaki itu berguling lagi dan kini turun ke tanah.

              Bersebelahan Faisal dan kedua-dua ibu bapanya.

              Mata Faisal terbelalak menyaksikan aksi-aksi yang tangkas tadi. Dia langsung tidak mampu mengekorinya dengan mata kasar.

              Ninja berlima yang sudah berada di atas kenderaan, kini melompat dan turun kembali ke tanah. Lelaki tersebut kini berada di tengah-tengah antara ninja-ninja tersebut dan Faisal bersama keluarganya.

              “Benarkan kami pergi dari sini. Ada anak kecil di sini!” Bapanya melaung dan mengangkat tangan. Mereka tiada kena mengena dengan apa-apa pertarungan yang  sedang berlangsung sekarang.

              Hendak meminta tolong, masjid berada jauh dari kawasan ini. Tempat ini juga telah gelap. Tinggal cahaya rembulan menerangi malam.

              Rayuan Bapa Faisal tidak dihiraukan. Ninja berlima selangkah demi selangkah mara ke hadapan. Manakala lelaki yang kini berada di tengah-tengah, berundur setapak demi setapak. Dia kelihatan bersedia untuk melepaskan tembakan daripada dua pucuk pistol yang masih setia di genggaman.

              “Hiargh!” Dua ninja membaling beberapa shuriken.

              Lelaki tersebut menembak shuriken-shuriken tersebut dengan tangkas. Namun dua ninja tersebut terus melontarkan senjata itu. Manakala tiga rakannya yang lain mula mara dengan lebih laju.

              Lelaki itu tidak sempat lagi menembak shuriken-shuriken yang menghala ke arahnya. Dia mula melompat dengan lincah untuk mengelak serangan-serangan yang sampai kepadanya.

              Ketika ini, Faisal merasakan cecair yang panas memercik ke wajah.

              “Ayah, Ummi!” Faisal menjerit apabila melihat Ibu dan bapanya menjadi mangsa senjata-senjata tajam tersebut. Dua shuriken melandas ke kepala ayahnya manakala satu shuriken mendarat ke leher ibunya.

              Kedua-duanya mati tanpa sempat berkata apa-apa.

              Faisal kemudian tergamam, dan kembali melihat pertarungan di hadapannya. Nyawanya kini dihujung tanduk.

              Dia dapat melihat lelaki di hadapannya kini sedang memandang ke arahnya dan mendengus.

              “Celaka!” Lelaki itu berundur, mengelak serangan-serangan daripada tiga ninja di hadapannya. Sekali-sekala dia cuba menyerang balas, dan tumbukan-tumbukannya melandas tepat ke dagu dan pipi penyerang. Tetapi mereka segera bangkit semula. Pada masa yang sama, dua pelempar shurikan seperti sedang menanti peluang dari jauh.

              Faisal terlihat batu-batu kecil tidak jauh daripada tempatnya.

              Tanpa berfikir panjang, Faisal mengambil batu-batu tersebut, dan melempar sekuat hati ke arah ninja-ninja yang sedang bertarung dengan lelaki itu. Mereka tidak apa-apa, bahkan mengelak lontaran Faisal yang lemah dan lembab. Tetapi itu memberikan lelaki yang sedang bertarung dengan mereka kelebihan.

              Tumbukan dilandaskan ke halkum salah seorang daripada tiga ninja tersebut. Kuat. Halkumnya terperosok ke dalam leher. Dua lagi, menggunakan katana dan tongkat, mahu menyerang balas, tetapi lelaki itu menunduk dengan tangkas, kemudian mendepangkan kedua-dua tangannya sekuat mungkin, menumbuk perut kedua-dua ninja itu.

              Ketika ini, dua pelempar shuriken hendak meneruskan serangan mereka. Namun dengan lincah, lelaki tersebut bergerak ke arah ninja yang menggunakan tongkat, memeluk tubuhnya, dan menggunakannya sebagai perisai. Beberapa shuriken melekat pada tubuh ninja malang tersebut.

              Lelaki itu dan ninja tersebut jatuh ke tanah.

              Pengguna katana mara untuk membalas dendam terhadap rakan-rakannya yang tumbang. Lelaki itu pantas menjulurkan tangannya sebaris dengan tanah dan melepaskan tembakan tepat ke kaki ninja tersebut. Dia kemudiannya menolak mayat Ninja di atasnya ke tepi, sebelum berguling ke arah berlawanan mendekati pengguna katana, dan bangkit menekan lututnya di atas leher pengguna katana tersebut.

              Dua shuriken sedang melayang ke udara, dan dia menundukkan kepala di saat akhir. Beberapa helai rambutnya tercantas. Dua shuriken tersebut terus melayang ke arah Faisal.

              Faisal memejamkan mata dan menjerit kuat.

              Gelap. Dia dapat mendengar bunyi tembakan yang kuat tatkala dia menutup matanya.

              Selepas beberapa ketika, Faisal merasakan tiada apa-apa berlaku terhadap dirinya. Matanya dibuka.

              Faisal tergamam. Dua shuriken tersebut melandas di kedua-dua sisi kepalanya. Kanan dan kiri. Sekitar satu sentimeter daripada tubuhnya. Jika tidak, dia sudah mengekori ibu bapanya ke alam barzakh sana.

              “Engkau bernasib baik budak.”

              Lelaki yang bertarung dengan ninja-ninja itu telah berdiri di hadapannya. Dua pelontar shuriken nampaknya telah dijemput maut. Mungkin tembakan yang kedengaran tadi ialah tembakan yang dilepaskan oleh lelaki ini kepada mereka.

              “Aku minta maaf atas apa yang berlaku kepada kedua-dua ibu bapamu. Bukan niat aku untuk membawa pertarungan ini ke tempat awam. Mereka tidak mengalah untuk mendapatkan aku.” Lelaki itu menunduk, duduk di belakang betis, matanya tepat memandang Faisal yang sedang tergamam dan terketar-ketar.

              “Siapa namamu budak?”

              “Faisal, Faisal Lutfi.”

              “Huh. Takdir. Nama aku juga Lutfi.”

              “Macam mana ni? Ummi dan Ayah dah mati.” Air mata Faisal mengalir. Dia menoleh ke kiri dan kanan, melihat ibu dan bapanya terkulai layu.

              Lelaki bernama Lutfi di hadapannya turut menoleh ke arah mayat ayah dan ibunya. Dia dapat mendengar helaan nafas keluar daripada rongga hidung lelaki tersebut.

              Lelaki itu menghulurkan tangan.

              “Ikut aku? Aku akan jaga dan membesarkan engkau.”

              Faisal tidak segera menyambut.

              “Atau engkau hendak tinggal keseorangan di sini?” Lelaki itu mengangkat kening.

              Faisal menyambut tangan lelaki tersebut.

              Lelaki itu tersenyum.

“Allahuakbar, Allahuakbar! Allahuakbar, Allahuakbar!”

              Lauangan azan menarik Faisal kembali ke alam realiti. Lamunannya hilang. Tanpa sedar, air matanya mengalir. Segera diseka. Dia melihat Salman Al-Hafiz sudah tidak berada di meja penceramah, bahkan meja penceramah itu sendiri sudah tiada di hadapan mimbar. Para jemaah masjid sudah berada di dalam saf.

              Faisal menghela nafas.

              Segera dia kembali mengenakan kotnya, dan mahu bergerak keluar.

              “Tidak bersama kami berjemaah?” Seorang lelaki tua menyapa. Terbongkok-bongkok dia bergerak. Sudah bertongkat. Walaupun wajahnya kedut seribu, namun senyuman manis masih dilemparkan.

              Faisal tersengih. Menggeleng.

              “Lain kali insyaAllah.” Orang tua itu mendoakan. Sedikit pun tidak prejudis.

              Hati Faisal tersentuh. Namun tidak cukup untuk menggerakkan dirinya mengambil air wudhu’ dan kembali ke saf untuk melakukan solat. 22 tahun ini, dia hanya melakukan solat apabila di universiti. Itu pun hanya di hadapan rakan-rakan, supaya dia tidak dilihat mencurigakan.

              Selepas tamat universiti pada usianya 23 tahun, dia memang langsung tidak pernah menunaikan ibadah itu. Masjid pun tidak pernah dijejakinya.

              Faisal bergerak menuju ke kenderaannya, sementara berbondong-bondong manusia bergerak berlawanan arah dengannya. Jiwa Faisal seperti tertampar.

              Tiba-tiba telefonnya berdering. Dia mengangkat telefon pintarnya, dan melihat nama Amirah terpapar. Segera dijawab.

              “Assalamu’alaikum.” Suara mulus Amirah kedengaran.

              “Wa’alaikumussalam. Ya Amirah?” Faisal sedikit terkejut mendapat panggilan.

              “Tengah solat ke? Maaf ganggu.”

              “Kalau tengah solat, tak adanya saya jawab telefon.” Faisal menjawab, sambil matanya dilepaskan ke arah masjid yang mula dipenuhi ramai.

              Amirah tertawa di hujung talian. Faisal tersenyum kelat.

              “Boleh kita jumpa lepas Isya’? Di Restoran Tarbawi? Ada perkara nak dibincangkan.”

              Faisal mengangkat kening. Perkara apa? Tetapi soalan itu hanya tersekat di kerongkong. Tidak dilepaskan.

              “Baik. Boleh, tak ada masalah.”

              “Baik, jumpa di sana ya.”

              Panggilan dimatikan.

              Faisal menghela nafas.

              “Apa kerja bodoh yang aku dah buat ni?” Faisal memaki dirinya. Seorang yang penuh noda dan dosa, dan ditakdirkan Tuhan ke neraka, ingin berdampingan dengan wanita solehah seperti Amirah?

              Apakah dia mahu Amirah terseksa? Faisal menampar dahinya berkali-kali.

              “Ah, aku kena betulkan keadaan ini. Aku kena cakap pada Amirah, aku tak jadi nak kahwin dengan dia. Ah, dia pun mungkin nak jumpa ni sebab nak kata tak jadi.” Faisal nekad.

              Dia masuk ke kenderaannya.

              Apabila iqamah berkumandang, Faisal sudah bergerak keluar dari perkarangan masjid.

******

Faisal masuk ke dalam Restoran Tarbawi. Seperti biasa, restoran itu seperti menyuntik ketenangan di dalam dirinya. Bau yang harum, pandangan yang menenangkan, sangat-sangat mendamaikan jiwa. Faisal disambut dengan ucapan selamat datang daripada pelayan-pelayan yang berdekatan dengannya. Faisal membalas dengan sedikit tunduk tanda hormat.

              Di dalam hatinya, dia mengingatkan kepada dirinya agar berani mengungkapkan kepada Amirah untuk membatalkan hasratnya yang tergesa-gesa itu.

              Mata Faisal kemudian tertarik dengan lambaian tangan daripada seorang wanita bertudung labuh.

              Mata Faisal terpana.

              Anggun, berseri, indah wajah Si Pemilik Lambaian. Amirah. Melihat sahaja wajahnya, entah mengapa, hilang terus rasa nekad di hati Faisal untuk membatalkan hasrat sucinya. Terus tersusup di dalam jiwanya harapan, bahawa dia masih ada peluang untuk berubah, untuk meninggalkan kegelapan.

              Wajah itu sedang tersenyum kepadanya.

              Di sisinya, terdapat seorang lagi wanita bertudung labuh, namun kelihatan sedikit berusia. Berkaca mata, sedikit tembam.

              Faisal bergerak ke meja tersebut.

              “Maaf, lambat.” Faisal melempar senyuman.

              “Eh tak mengapa. Kenalkan, ini Ummi saya. Puan Hafsah Sophia.”

              “Eh,” Terkejut. Faisal sedikit kelu. Namun wanita bergelar ‘Ummi’ itu tersenyum lebar.

              “Inilah orangnya ya. Kacak dan segak.” Puan Hafsah memuji.

              Wajah Faisal terasa panas. Dia menunduk sedikit tersipu. Tangan kanan menggaru belakang kepala yang tidak gatal.

              “Er…” Faisal tidak pasti hendak memulakan bicara bagaimana. Tiba-tiba dia sudah berada di hadapan bakal mertua. Apa yang mahu diungkapkan? Apa yang mahu disembangkan?

              “Panggil aja Ummi. Jangan malu-malu, Faisal.” Puan Hafsah bersuara, lembut dan menyenangkan.

              Faisal mengukir senyuman lebar. Matanya kini bertaut pula kepada Amirah. “Jadi….”

              Amirah memandang umminya. Kedua-dua mereka saling berpandangan, dan Puan Hafsah mengangguk.

              “InsyaAllah, keluarga saya sudah bersetuju.”

              Mata Faisal membesar. Kemudian dahinya berkerut. “Benarkah? Dalam keadaan kami tak berapa kenal ni?” Faisal memandang Puan Hafsah.

              Puan Hafsah menggeleng perlahan. “Benar Faisal. Ayahnya pun sudah bersetuju. Memang kami risaukan Amirah ni ha, umur dah nak hampir 30.”

              “Baru 28 lah Ummi.” Amirah menguis.

              “Hampir 30 lah tu.”

              Faisal tertawa kecil. Namun kemudian dia teringat akan kehidupannya. Bahkan, dia sekarang sedang menjalankan misi yang bakal menambah dosanya. Dia tidak akan boleh keluar begitu sahaja. Senyumannya mengendur.

              “Kenapa, awak berubah hati kah?” Amirah pula mengerutkan dahi melihat reaksi Faisal.

              Faisal menggeleng. “Mak… er, Ummi. Faisal jujur sahajalah di sini. Faisal ini bukan orang soleh. Lama dah Faisal tak baca Al-Quran dan solat, Ummi. Faisal jauh dah tersasar di dalam hidup ini, dan dosa Faisal tidak sedikit.” Dia membuka bicara, jujur walaupun tidak benar-benar berterus-terang.

              Amirah dan Puan Hafsah tidak mencelah. Memberikan ruang untuk Faisal meluahkan segalanya.

              “Faisal rasa diri ini terlalu hitam dan kotor untuk dipadankan dengan Amirah, Ummi. Memang Faisal yang berhajat, tapi Faisal sendiri akhirnya rasa tindakan Faisal tergesa-gesa. Faisal rasa dah membebankan Amirah dan pihak Ummi pula. Tempoh hari Faisal menyatakan hajat hanya kerana Faisal rasa kecewa dengan kehidupan sendiri.” Faisal memandang tepat ke mata Amirah, sebelum beralih ke Puan Hafsah.

              “Sebenarnya Faisal datang hari ini dengan cadangan nak batalkan sahaja niat Faisal.” Terluah juga apa yang mahu disampaikan.

              “Faisal, sesuatu itu diaturkan oleh Allah SWT ada hikmahNya. Ada hikmahNya Faisal bertemu semula dengan Amirah di restoran ini. Ada hikmahNya, walaupun selepas kami tahu latar belakang Faisal serba sedikit ini, kami masih berkenan hendak menerima Faisal. Semua manusia itu berdosa Faisal. Tinggal sedikit atau banyak, kecil atau besar, tersembunyi atau tidak sahaja.” Puan Hafsah berbicara.

              “Rasulullah SAW bersabda: Setiap anak Adam itu melakukan dosa. Dan sebaik-baik pendosa adalah mereka yang bertaubat. Hadith Riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Ibn Majah.”

              Amirah di sisi Umminya, terangguk-angguk, seakan dirinya pula yang mendapat pesanan.

              “Memang, kalau nak diikutkan, agak mengejut dan berat permintaan Faisal. Tetapi seminggu ini, kami sekeluarga telah berbincang dan mempertimbang, Amirah pun telah melakukan istikharah. Kan Amirah?” Puan Hafsah memandang puterinya.

              Amirah mengangguk. “InsyaAllah, saya yakin, untuk menerima awak Faisal. Walau macam mana sekalipun latar belakang awak. Yakinlah, Allah SWT akan memberikan jalan keluar yang baik jika kita benar-benar ingin keluar dari dosa dan maksiat.”

              Faisal menghela nafas. Jiwanya rasa sebak. Dan hampir sahaja dia hendak mengalirkan air mata. Terharu melihat keindahan sikap dua wanita di hadapannya. Hingga dia kelu untuk berkata apa-apa.

              Dia datang dengan niat untuk membatalkan hasratnya.

              Entah mengapa, kini dia semakin nekad pula untuk menunaikan hasrat sucinya itu.

              Faisal menyeka matanya yang bergenang.

              “Jadi, awak dan keluarga, sudi menerima saya?” Faisal memandang tepat kepada Amirah. Ketika ini, dia perasan, wajah wanita itu berubah sedikit merah, dan kemudian Amirah menundukkan kepala, kesipuan.

              “Sudilah tu.” Puan Hafsah menyampuk sambil mengangkat keningnya dua kali.

              “Hish Ummi ni.” Amirah mencuit umminya. Kemudian dia mengangkat wajah, membetulkan sedikit kaca matanya, dan memandang Faisal.

              “InsyaAllah Faisal. Saya sudi.”

              Faisal tersenyum lebar. Selebar-lebarnya. Dadanya berdegup kencang dan terasa seperti mahu meletup. Apakah ini mimpi?

              Pertama kali di dalam kehidupan Faisal, dia melihat kebahagiaan itu mampu menjadi realiti.

              “Ha, asyik bersembang aja ni. Mari kita makan. Ummi sudah lapar.” Puan Hafsah mengangkat tangan melambai kepada pelayan terhampir.

              Faisal dan Amirah sama-sama tertawa.

              Bahagia.

*****

Faisal membuka pintu rumahnya. Rumahnya gelap gelita. Faisal terus melangkah masuk, menghala ke suis lampu untuk ruang tamu. Namun baru beberapa langkah dia masuk, tangannya tangkas menyeluk ke dalam jaket dan mengeluarkan sepucuk pistol. Pistol diacu ke arah sofa berdekatan.

              Lampu dibuka.

              Luke sedang mengangkat kedua-dua belah tangan.

              “Hebat. Walaupun aku sudah berusaha untuk menjaga pernafasan dan degupan jantung.”

              Faisal menghela nafas dan menggeleng. Segera diselukkan kembali senjatanya ke dalam jaket.

              “Bapa, kalau saya tekan picu tadi bagaimana?” Berkerut dahinya, sambil bergerak ke sofa di sebelah tempat duduk bapa angkatnya itu.

              “Aku elak. Engkau ingat engkau mampu menembak aku?”

              Faisal mencebik. “Berlagak.” Namun tidak lama kemudian, Faisal mengukir senyuman. Teringat momen-momen di Restoran Tarbawi tadi.

              Luke tertawa melihat ulah Faisal. Terus dipanjangkan tangan kanannya, mencuit hidung anak angkatnya itu. Terus tangannya itu ditepis sebelum sempat hidung Faisal disentuh.

              “Bapa!”

              Luke tertawa lebih kuat. “Berangan apa tu ha?”

              “Faisal baru berjumpa dengan seorang perempuan ni.”

              “Hah, bila pula engkau ada ‘girlfriend’ ni?” Luke membetulkan postur duduknya.

              “Hish, bukan ‘girlfriend’, la Bapa. Lebih kepada bakal isteri.” Senyuman Faisal melebar.

              Namun riang di wajah Luke bertukar pudar.

              “Bakal isteri?” Luke mengangkat sebelah kening.

              Faisal mengangguk.

              “Bapa, apakah pernah di dalam sejarah dunia gelap ini, seseorang berjaya keluar daripada organisasinya? Atau lebih khusus, organisasi kita?” Faisal menoleh ke tepi, memandang bapanya.

              Luke menghela nafas. Dahinya berkerut ketat. Matanya tajam membalas pandangan Faisal. Menggeleng.

              Giliran Faisal menghela nafas. “Sukar ya.”

              “Bukan sukar, mustahil!” Luke meninggikan suara. Spontan dia bangkit, dan berdiri di hadapan Faisal.

              “Kenapa dengan engkau ni hah? Terhantuk? Ingat ini semua mimpi? Apakah engkau tidak perasan kita semua di dunia ini tidak punya pasangan intim? Kerana pasangan kita akan menjadi sasaran. Engkau mahu libatkan perempuan itu di dalam dunia kita?” Mata Luke menjegil.

              Faisal menggeleng.

              “Dia seorang yang kuat beragama. Aku telah muak dengan kehidupan ini Bapa. Apabila aku melihat dia, aku melihat harapan. Harapan untuk aku berubah dan keluar daripada kehidupan ini.”

              “Mustahil!” Luke memotong. Suaranya meninggi. Sedikit bergema ruang tamu itu dengan suaranya.

              “Bagaimana jika aku serius mahu mengejar harapan ini?”

              “Engkau akan kecewa akhirnya!” Luke memberikan amaran.

              Faisal bangkit. Dia berdiri betul-betul di hadapan bapanya. Kepala mereka hampir berlaga. Mata mereka saling bertentangan.

              “Engkau dilambung mimpi Faisal. Tiada manusia yang sempurna. Jika mereka tidak mengecewakan engkau, engkau akan mengecewakan mereka.”

              Faisal menolak bapanya. Luke terundur beberapa tapak ke belakang.

              Faisal bergerak meninggalkan ruang tamu.

              “Dengar kata-kataku ini Faisal. Jangan engkau menyesal di kemudian hari. Pembunuh seperti kita, tidak punya peluang untuk bahagia!” Luke melaung.

              Faisal mengabaikan seruannya. Menghilang di balik dinding.

              Luke menghela nafas. Dua penumbuknya dikepal. Kemudian dia mengetuk kepalanya sedikit dengan kedua-dua penumbuknya itu.

              Kegusaran Maximus terzahir. Luke bukan tidak mahu melihat anak angkatnya itu bahagia. Tetapi Luke risau kesengsaraan yang sedang menanti Faisal.

              “Aku harap engkau sedar apa yang engkau hendak lakukan, Faisal.”

              Luke mendengus, kemudian berpaling. Dia bergerak ke pintu rumah.