Peluru 3 – Pendakwah Dari Neraka

Islam perlu dilihat secara menyeluruh,
takkan terlihat keindahannya jika ambil separuh-separuh,
jadi rapuh,
jadi lusuh.

Jangan dilihat ayat neraka,
tanpa memandang ayat syurga,
jangan sekadar dipetik ayat Tuhan marah,
melupakan ayat Tuhan cinta.

Hari ini Faisal duduk lagi di tempat yang sama seperti tempoh hari, di belakang masjid. Dia masih mengekori Salman Al-Hafiz. Semenjak Faisal mula mengekori Salman, dia tidak melihat apa-apa yang mencurigakan daripada lelaki tersebut. Salman Al-Hafiz akan menghabiskan banyak masa di masjid, bergaul dengan masyarakat, membantu penduduk di sekeliling, kemudian apabila selesai Isya’, dia akan pulang dan menghabiskan masa di rumah bersama anak dan isteri.

              Pun begitu, itu hanya pemerhatian Faisal untuk dua hari.

              Tidak cukup. Faisal sekurang-kurangnya akan mengekori satu-satu sasaran selama seminggu, bahkan kadangkala lebih. Selain untuk mengetahui di mana markas sasaran, dia juga ingin mendapatkan bacaan terhadap peluang dan ruang yang boleh diambil saat dia ingin menamatkan riwayat sasarannya. Faisal akan memilih keadaan yang terbaik, agar peluang untuk dia menumbangkan sasarannya dengan mudah itu tinggi.

              Seperti Vadarajan, Faisal mengambil masa hampir sebulan untuk memastikan kekuatan kubunya, pergerakan ahli, pergerakan Vadarajan dan bilangan ahli yang berada di kubu pada satu-satu masa. Faisal telah memilih masa untuk menyerbu organisasi Vadarajan pada waktu sedikit ahli-ahlinya berkumpul di dalam kubu. Vadarajan tidak membenarkan kubunya ditinggalkan dalam keadaan ahlinya kurang dari 10 orang di dalamnya. Momen sedemikian hanya akan berlaku apabila Vadarajan berada di dalam bilik khas miliknya, untuk mengira pendapatan. Semua ahli lain akan diarahkan keluar dari kubu, tinggal dia dan 10 pengawal peribadinya sahaja.

              Begitulah juga yang sedang dilakukan terhadap Salman Al-Hafiz.

Dia melihat Salman Al-Hafiz mengambil tempat di meja penceramah. Salman Al-Hafiz memulakan bicaranya dengan memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah. Kemudian dia memulakan penyampaiannya.

              Hari ini, Salman Al-Hafiz membicarakan perihal taubat.

              Faisal rasa teruja ingin mendengar.

              Sambil menyelam, sambil minum air. Faisal tidak pernah mendapat sasaran yang mempunyai latar belakang Islamik, apatah lagi seorang Ustaz atau Imam. Dia sedikit berharap konflik dalamannya mendapat jawapan yang tuntas daripada kalam-kalam Salman.

              “Rakan-rakan hadirin jemaah yang saya muliakan. Sesungguhnya dosa ialah hasil keingkaran seorang insan kepada Tuhan. Lagi banyak seseorang itu ingkar kepada Tuhan, akan lebih tinggilah dosa seseorang di sisiNya. Orang-orang yang berdosa ini kotor dan jijik!” Salman melaung.

              Jiwa Faisal terenjat. Terasa seperti dirinya yang disebut.

              “Mereka tidak akan mendapat ketenangan di dalam hidup! Allah SWT telah berfirman: Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya untuk dia itu kehidupan yang sempit. Dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat kelak dalam keadaan buta!” Suara Salman tambah meninggi.

              Bulu roma Faisal meningkat.

              “Maka bertanyalah dia: Mengapa Engkau kumpulkan kami dalam keadaan buta? Sedangkan kami dahulu di dunia melihat?!”

              Salman berhenti sebentar. Pandangannya menebar ke seluruh jemaah. Faisal pula dari belakang masjid, memberikan fokus yang tertinggi, walaupun dadanya berdegup kencang.

              “Tuan-tuan tahukah apa yang Allah SWT jawab?”

              Semua hadirin diam tidak membalas soalan tersebut.

              “Maka Tuhan menjawab: Dan demikianlah telah datang peringatan Kami kepada kamu, dan kamu melupakannya. Maka demikianlah juga kamu pada hari ini Kami lupakan.” Mata Salman menjegil, menggambarkan kedahsyatan suasana tersebut.

              Faisal mengerutkan dahi. Kemudian menunduk.

              “Tuan-tuan, puan-puan, ada sambungan lagi. Allah SWT menutup amaran-amaran tersebut dengan ayat: Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.” Salman berhenti sebentar, kelihatan seperti sedang mengambil nafas, sebelum dia kembali berbicara.

              “Ayat-ayat tersebut tuan puan boleh temui dalam Surah Toha, ayat 124 hingga 127.”

              Suasana di Masjid Al-Iman menjadi sepi seketika, diisi sedikit dengan suara kanak-kanak yang sedang main lari-lari di belakang. Faisal tidak terganggu dengan ulah kanak-kanak tersebut, sedang dia benar-benar terganggu dengan apa yang disampaikan oleh Salman.

              “Rakan-rakan hadirin jemaah yang saya kasihi. Orang yang bergelumang dengan dosa ialah orang yang paling bodoh. Kehidupan hanyalah sebentar. Kita datang daripada Allah, pulang pun bertemu Allah. Maka kehidupan ini, apakah untuk sesuka hati? Sesekali tidak. Maka kehidupan ini semestinya ialah untuk Allah SWT. Perbandingan kehidupan di akhirat itu terlalu panjang hendak dibandingkan dengan kehidupan di dunia. Kehidupan di akhirat itu abadi, bermakna ia akan terus berpanjangan selama-lamanya. Cuba tuan-puan bandingkan umur 70 tahun, dengan selama-lamanya? Bukankah 70 tahun itu akhirnya akan mengecil dan menghilang? Demikianlah bodohnya orang-orang yang bergelumang dengan dosa. Mereka menyibukkan kehidupan yang pendek ini dengan perkara yang sia-sia! Mereka sesat! Selayaknya mereka mendapat hukuman yang berat!” Berdegar-degar Masjid Al-Iman dengan suara Salman Al-Hafiz.

              Kemudian bangkit seorang pendengar. Dari pemakaiannya, kelihatan dia bekerjaya profesional. Faisal tidak dapat melihat wajahnya, memandangkan Faisal berada jauh di belakang. Lelaki tersebut memberikan isyarat untuk bertanyakan soalan, dan dibenarkan oleh Salman.

              “Ustaz, tetapi jika kita lihat kerajaan kita sekarang, Perdana Menteri kita sendiri, kita rakyat Malaysia dianjurkan untuk memandang orang-orang yang berdosa, yang bergelumang dengan maksiat ini, dengan pandangan rahmat. Mereka perlu didekati, bukan dijanjikan dengan neraka. Kerana akhirnya syurga dan neraka itu kerja Tuhan.”

              “Inilah pandangan orang yang liberal! Mereka memang suka bermudah-mudah dengan dosa. Lihat pembebasan Masjidil Aqsa. Itu semua hanyalah wayang! Mereka tidak menggunakan kekuatan mereka untuk menghapuskan musuh Allah terlaknat, Israel! Bahkan mereka berpakat pula dengan mereka. Lupakah mereka dengan firman Allah SWT: Dan tidak akan sesekali redha kepada kamu yahudi dan nasara hinggalah kamu mengikuti jejak langkah mereka! Surah Al-Baqarah ayat 120.” Salman membentak.     

“Mereka yang bergelumang dengan dosa ini sebenarnya sudah boleh dikatakan sebagai kafir. Kerana sifirnya mudah, semasa mereka melakukan dosa, apakah mereka beriman kepada Allah? Jika benar keimanan mereka kepada Allah, pasti mereka tidak akan melakukan dosa!”

Faisal mengerutkan dahi mendengar jawapan Salman.

              Bangkit seorang lagi pendengar. Kali ini Faisal dapat menjangka bahawa dia merupakan seorang remaja.

              “Jika demikian, bukankah kita semua ini kafir? Siapa yang tidak lepas dari melakukan dosa?”

              Salman kelihatan terpempan. Salman dilihat cuba menenangkan diri, sebelum membuka mulutnya untuk memberikan jawapan balas.

              “Ada beza antara orang yang melakukan dosa kemudian bertaubat, dengan orang yang melakukan dosa, tetapi tidak mahu bertaubat. Apa yang saya nyatakan, hadirin, adalah untuk golongan yang kedua. Golongan ini penyebar kerosakan. Mereka tidak berhenti melakukan maksiat. Jadi mengapa kita hendak memandang mereka dengan pandangan rahmat? Dan antara tanda Allah SWT membenci seseorang itu, adalah dengan Dia menjauhkan orang itu daripada taubat. Maka buat apa kita pula hendak sibuk-sibuk memberikan pandangan rahmat sedang Tuhan sendiri tidak membantu mereka untuk bertaubat?”

              Hadirin terangguk-angguk.

              Faisal menghela nafas.

              Terasa dirinya dipukul-pukul. Jika diikutkan bicara Salman, dia berada dalam kategori yang kedua. Melakukan dosa, tetapi tidak bertaubat. Dia mahu bertaubat, tetapi tidak tahu caranya. Kemudian konflik hidup menyebabkan dia bertangguh-tangguh. Sedikit sebanyak, kata-kata Salman merasuki jiwa Faisal.

              Hati Faisal kembali kuat merasakan yang Tuhan telah berpaling daripadanya.

              Tuhan yang melorongkan dia di atas jalan ini.

              Jika Tuhan hendak menjadikannya manusia yang baik, maka Tuhan tidak akan menimpakan tragedi hitam kepada dia dan keluarganya 22 tahun yang lampau. Jika Ummi dan Ayahnya masih hidup, sudah pasti dia akan menjadi manusia yang soleh hari ini. Tetapi Tuhan telah menentukan bahawa dia membesar dengan Luke, seorang Pembunuh Profesional, yang kemudian telah melatihnya untuk menuruti jejak langkah orang terkanan Maximus itu.

              Laungan azan berkumandang tidak lama kemudian. Faisal keluar dari masjid, dan menanti di dalam kenderaan. Tetapi tidak terus pulang. Faisal mahu mengekori Salman lagi pada hari ini. Hari Isnin, dia tidak dapat melakukan aktiviti ini kerana perlu bertemu dengan Amirah. Hari selasa, apabila dia mengekori Salman, Salman hanya pulang ke rumah seperti orang kebanyakan. Hari ini, tidak pasti bagaimana. Faisal perlu menanti sehingga usai Isya’.

Sementara menanti di dalam Adiwiranya, Faisal teringat akan Amirah.

              Perempuan yang anggun dan santun. Antara persoalan yang membuatkan Faisal risau ialah bagaimana dia mahu hidup bersama Amirah dalam keadaan kariernya yang sebegini? Dia pasti perlu keluar. Cuma, tiada siapa yang berjaya keluar daripada dunia gelap.

              Hatinya kembali berkecamuk.

              Amaran Luke menghentak-hentak ruang kepalanya.

              “Dengar kata-kataku ini Faisal. Jangan engkau menyesal di kemudian hari. Pembunuh seperti kita, tidak punya peluang untuk bahagia!”

              Sepanjang perkenalan mereka, Luke jarang memarahinya, kecuali di medan latihan. Walaupun Luke kurang bersikap seperti seorang ayah pada awalnya, lebih kepada seorang guru di dalam cerita kungfu, Luke akhirnya telah memberikan segala-galanya untuk membesarkan Faisal. Luke lah yang menghantarnya ke universiti, dan Luke juga yang memperkenalkannya dengan Organisasi Hitam. Tempat di mana Faisal memperolehi segala kemewahan hidup.

              Membelakangi nasihat Luke, bukan sesuatu yang Faisal pernah lakukan.

              Luke sudah dianggap sebagai penyelamat, dan tiada manusia yang lebih Faisal pandang tinggi di dalam hidupnya, berbanding Luke.

              Tetapi….

              Faisal menghela nafas. Dia memandang ke masjid. Masih kelihatan beberapa orang berlari-lari anak untuk mengejar solat berjemaah.

              Faisal ingin meninggalkan kehidupan sebagai pembunuh. Dia ingin mendapatkan ketenangan. Dia sudah terasa loya dan muak. Namun daripada bicara Salman tadi, dia seperti tidak mempunyai harapan lagi di sisi Tuhan.  Tuhan tidak akan menerimanya.

              Dia telah membunuh lebih 900 nyawa.

              Apa dosa yang lebih besar daripada itu?

              Bagaimana dia boleh membersihkan dirinya?

              Mahukah Allah menerimanya yang penuh dengan darah ratusan mangsa?

              Dia buntu.

              Belum ditambah dengan dosa-dosa lain, seperti tidak solat fardhu sepanjang hidupnya.

              Faisal menyandarkan tubuhnya pada kerusi kereta. Mati akal.

              Apakah dia memang ditakdirkan untuk terus berada di atas jalan ini, dan tidak akan sesekali mampu untuk membebaskan diri?

              Namun dia teringat akan nasihat Amirah, yang menyatakan bahawa Allah SWT memanggil orang-orang yang melampaui batas, agar tidak berputus asa dengan rahmatNya. Mengapa nasihat Amirah sangat kontradik berbanding Salman Al-Hafiz?

              Kepala Faisal sakit memikirkan. Dia sendiri tidak punya ilmu agama yang mantap untuk menjawab persoalan-persoalan tersebut.

              Tiba-tiba matanya menangkap para jemaah keluar daripada masjid. Perlahan-lahan bersurai dari rumah Allah itu. Faisal bersiap sedia. Tidak lama kemudian, kelihatan Salman Al-Hafiz keluar dari masjid. Selepas bersalaman dengan sebilangan ramai, Salman bergerak menuju keretanya. Kenderaan tersebut dihidupkan, dan kemudian bergerak keluar dari perkarangan masjid.

              Faisal mengekori. Faisal membiarkan sahaja kenderaan Salman itu bergerak jauh di hadapan, diselangi banyak kenderaan lain. Kenderaan Salman itu telah diletakkan alat pengesan oleh Faisal semalam. Kedudukannya terpapar jelas melalui sistem Global Positioning System(GPS) di skrin yang terdapat di tengah-tengah kereta Faisal.

              Tidak lama kemudian, Faisal mengangkat kening.

              Salman tidak pulang ke rumahnya. Kereta Salman membelok keluar dari Taman Pulai Indah. Faisal setia mengekori. Dari Pulai Indah, mereka menuju ke arah Skudai, melepasi Taman Teratai, Taman Pulai Perdana, Taman Sri Pulai, Pulai Springs Resort, Taman Universiti dan Taman Sri Skudai. Kereta Salman kemudian membelok ke arah Senai.

              Namun di tengah perjalanan, Salman membuat pusingan ‘U’ dan kenderaannya menghala ke Johor Bahru. Sekitar 10 minit kemudian, kenderaan Salman membelok dan memasuki sebuah kawasan perumahan mewah. Ini kawasan perumahan terbaru di Johor, yang dibangunkan di bawah Syarikat Amir&Co Property. Kawasan tersebut berpagar, dan terdapat pengawal yang menjaga. Kelihatan Salman keluar dan memberikan pengenalan diri kepada pengawal yang bertugas. Faisal tidak dapat mengekori ke dalam.

              Namun Faisal bukan manusia kebanyakan. Dia seorang pembunuh profesional.

              Faisal memarkir kenderaannya di luar kawasan perumahan tersebut. Sementara petugas di pondok pengawal sedang alpa menonton televisyen, Faisal menyelinap masuk tanpa sebarang masalah. Faisal mengeluarkan telefon pintarnya, lokasi kenderaan Salman terpapar dan Faisal bergerak ke arah berkenaan.

              Tidak lama kemudian, Faisal berada di hadapan sebuah rumah banglo. Besar. Mewah. Kenderaan Salman terparkir di hadapannya, bersama-sama barisan kenderaan mewah dan mahal yang lain. Semuanya berjenama luar negara. Hanya kenderaan Salman sahaja berjenama Malaysia dan sederhana.

               Faisal memerhati rumah banglo tersebut. Bahagian luarnya tidak dikawal. Namun mempunyai kamera di pelbagai sudut. Faisal segera mengambil cip pada poketnya, dan dilekatkan pada bawah dagu. Cip tersebut ditekan. Wajahnya kini tidak akan mampu dikesan.

              Pun begitu, Faisal menyelinap dan mengelak dirinya dirakam oleh kamera-kamera tersebut. Misinya pada malam ini ialah memerhati susun atur lokasi ini, dan mengetahui angka sebenar kekuatan musuh.

              Walaupun kawasan perumahan ini tidak berpagar di hadapannya, tetapi di kiri kanan dan belakang rumah banglo ini, terdapat pagar berjeriji yang tinggi. Jalan keluar dan masuk hanya melalui hadapan.

              Faisal memandang ke langit malam.

              Atau ke atas.

              Faisal tersengih. Menggeleng.

              Faisal kemudian mendengar bunyi tapak kaki mendekati tempat dia berdiri. Segera Faisal bersembunyi di balik dinding berdekatan. Perlahan-lahan Faisal mengintai.

              Kelihatan Salman, masih berbaju melayu, berkain pelikat, berkopiah, dengan rida’ menyelimuti kedua-dua bahu, berjalan ke balkoni bersama seorang lelaki, bertubuh besar, botak, berjambang, mengenakan kemeja penuh dan berjaket. Lelaki tersebut mempunyai sepucuk pistol pada pinggangnya.

              “Bagaimana Ustaz? Bila kita akan menunjukkan kekuatan kita kepada kerajaan kafir ini?” Si Botak bersuara.

              “Bersabar. Negara kafir ini akan kita bersihkan tidak lama lagi. Buat masa ini, kekuatan kita belum cukup ampuh.”

              “Kami tidak sabar hendak berjuang di atas jalan Allah dan mendapatkan syurga!” Si Botak bersemangat.

              Kelihatan Salman mengangkat tangan. Isyarat minta bertenang. Si Botak mengangguk-angguk.

              “Kita masih perlu merekrut lebih ramai orang. Kita baru sahaja bermula. Kita tidak mahu kegagalan saudara-saudara kita di Iraq dan Syria, berulang di Malaysia. Kita perlu lebih bijak.”

              “Bagaimana pula dengan ancaman daripada dunia gelap? Dengar kata Organisasi Hitam baru sahaja menumbangkan Vadarajan.”

              “Ya, mereka mempunyai Izrail Dunia Gelap.”

              Faisal mengangkat kening. Tidak sangka gelarannya itu dikenali oleh Salman.

              “Semua itu ahli neraka. Kita akan berikan mereka azab di dunia, dan Tuhan akan memberikan kepada mereka azab di akhirat.” Salman berbicara, sambil dua tangan berehat di belakang pinggangnya.

              Faisal tercucuk dengan bicara Salman.

              “Kita juga punya Izrail yang tersendiri. Malaikat Maut yang sebenar. Bukankah begitu Azri?” Kelihatan Salman tersenyum lebar kepada Si Botak.

              Azri mengangguk dan tertawa. “Jadi, Ustaz ada rancangan untuk membersihkan dunia gelap?”

              “Semestinya ada. Bahkan itulah rancangan kita yang sebenarnya. Kita buat apa yang gagal dibuat oleh Kerajaan kafir ini. Kita akan mendapat lebih banyak keyakinan ramai, dan dari sana kita boleh bangunkan Negara Islam sejati yang kita hajati!”

              “Demi Allah Ustaz, saya dan rakan-rakan, sanggup berkorban.”

              “Syurga buat kalian.” Salman menepuk-nepuk belakang bahu Azri.

              “Amiin!” Azri segera mencapai tangan Salman dan mengucup belakang telapak tangan lelaki tersebut.

              “Buat masa ini, teruskan kerja-kerja di sebalik tabir. Rekrut seramai mungkin. Dana jangan risau. Masjid Al-Iman itu dihadiri orang kaya raya yang sentiasa memberikan derma. Mereka semua mahu menyumbang di atas jalan Allah. Dan dana daripada luar negara juga terus menerus masuk. Jadi kalian jangan malas. Ingat, Allah melihat!” Salman bersuara tegas.

              “Baik Ustaz.”

              Azri kemudiannya berlalu pergi.

              Meninggalkan Salman berseorangan di balkoni.

              Faisal kekal di sebalik dinding.

              “Heh,” Dia mendengar Salman tersengih seorang diri.

              Entah apa yang bermain di dalam minda lelaki itu.

              Kemudian Salman juga berpaling dan bergerak masuk ke dalam.

              Faisal tidak mengekori. Sekadar memerhati dari balkoni keadaan di dalam rumah. Faisal perasan, terdapat alat pengesan di pintu balkoni tersebut. Bermakna, hanya mereka yang mempunyai alat khas sahaja yang mampu memasuki rumah tersebut tanpa membunyikan penggera.

              Faisal memehatikan Salman yang sedang berbicara di hadapan sekitar 30 orang pemuda. Belia. Dari wajah dan perawakan, Faisal menjangka mereka bukanlah orang yang berpengalaman di dalam dunia gelap. Kelihatan seperti rekrut baru. Manakala di sekeliling mereka, terdapat kurang lebih 20 orang berpakaian sut penuh seperti Azri. Masing-masing bersenjata.

              Salman kelihatan sedang berbicara berkenaan jihad, syurga, pengorbanan, dan sebagainya yang tidak betul-betul mampu ditangkap oleh Faisal kerana jarak antara mereka.

              Selepas beberapa minit, Faisal mengambil keputusan untuk beredar.

              Belum tiba masanya untuk dia beraksi hari ini.

              Dia perlu lebih persediaan.

******

Faisal duduk termenung. Kemudian wajahnya diangkat. Dia memandang ke dinding yang kini dipenuhi dengan gambar dan maklumat berkaitan sasarannya. Gambar wajah-wajah yang terlibat seperti Salman, orang-orang kanannya. Gambar lokasi seperti Masjid Al-Iman, rumah Salman di Pulai Indah dan juga banglo besar di taman perumahan yang dibangunkan Amir&Co Property. Kemudian maklumat-maklumat seperti bilangan orang-orang Salman, rutin aktiviti mereka, sedikit latar belakang, dan juga aktiviti rekrut yang mereka jalankan. Semuanya terpampang pada dinding di sebuah bilik khas yang berada di sebalik bilik tidurnya. Tersembunyi di belakang rak almari buku.

              Di bilik itu, Faisal menyimpan koleksi senjatanya, beberapa salinan sut serba hitam yang sering dipakainya ketika beroperasi, dan tempat ketika dia merancang strateginya untuk menumbangkan sasaran demi sasaran. Di hadapan dinding perancangan itu, terdapat sebuah sofa panjang, yang boleh digunakan untuk berbaring. Faisal sedang duduk di hujung sofa tersebut, menghadap dinding.

              Telah seminggu setengah Faisal mengekori Salman dan mengumpul maklumat. Tidak terhad kepada Salman sahaja, beberapa individu kanannya turut diekori, seperti Azri. Latar belakang mereka disiasat.

              Kebanyakan orang bawahan Faisal ialah orang melayu Islam, yang kuat beragama. Mereka bermula dengan niat untuk menyumbang kepada agama, dan tertarik dengan penyampaian-penyampaian Salman di Masjid Al-Iman. Seterusnya mereka mula mendekati Salman, dan ditawarkan ‘agenda perubahan’ yang dikatakan lebih ‘efektif’. Mereka disogok dengan idea-idea bahawa Malaysia sekarang mengamalkan Islam yang liberal, terlalu berlembut dengan kuffar, dan telah mempergunakan Islam, bukan benar-benar menegakkannya.

              Bagi mereka, Malaysia kini ialah negara kafir.

              Kejayaan Kerajaan Malaysia memakmurkan negara ini, memajukannya sehingga menjadi setanding dengan dunia-dunia besar, dan membebaskan Masjidil Aqsa baru-baru ini dipandang lekeh oleh mereka dan dianggap sebagai sandiwara belaka.

              Mereka sangat percaya bahawa, sekiranya Malaysia membawa Islam yang benar, Malaysia sudah pasti telah menjadi medan peperangan. Demikianlah yang dinyatakan telah berlaku kepada ISIS di Syria dan Iraq. Mereka cuba membina negara Islam, lantas mereka diserang hebat. Bagi pengikut Salman, itulah dia petanda bahawa mereka membawa kebenaran. Kebenaran akan ditentang.

              Faisal tidak ingin memperbahas ideologi mereka. Bagi Faisal, cukup dia mengklasifikasikan Salman sebagai ekstrimis yang bertopengkan agama. Ciri-cirinya itu ada. Bahkan, Salman dilihat sebagai utusan Allah di kalangan pengikut-pengikutnya. Kata-katanya ibarat sabda daripada Nabi itu sendiri. Pengikut-pengikutnya sangat setia, menghormatinya dan amat patuh.

              Namun Faisal bukan hendak menjadi hero di sini.

              Organisasinya sendiri bukan organisasi yang baik.

              Salman dan pengikut-pengikutnya menjadi sasaran hanya kerana organisasi Salman telah merancang untuk berkuasa di dunia gelap. Itu antara sebab mengapa Organisasi Hitam pimpinan Maximus telah menetapkan bahawa organisasi milik Salman perlu dihapuskan, sebelum ia berkembang dan menjadi duri dalam daging dunia gelap.

              Sepanjang seminggu setengah ini, Faisal telah melihat ruang dan peluang yang boleh digunakan untuk dia mencapai misinya. Salman akan berada di banglo mewah tersebut pada setiap hari Rabu dan Jumaat, selepas Isya’. Masalah utama ialah, ketika itu juga mereka akan menjemput rekrut-rekrut baru untuk mendengar dakyah-dakyah Salman.

              Ketika Salman berada di banglo tersebut ialah saat di mana banglo itu dipenuhi ramai.

              Faisal perlu mencari jalan agar halangannya berkurangan. Dahinya berkerut-kerut kerana masih tidak dapat memikirkan cara yang terbaik untuk mencapai misinya.

              Misinya bukan Salman seorang. Jika demikian, hal ini telah selesai beberapa hari yang lepas. Namun, dia juga perlu untuk menghapuskan organisasi Salman. Memastikan ia tidak lagi berdiri semula.

              Mungkin dia memerlukan lagi beberapa hari untuk melakukan pemerhatian.

              Tiba-tiba telefonnya berdering. Deringan khas yang diletakkan hanya untuk Amirah. Pantas tangannya mencapai telefon pintarnya itu. Semenjak pertemuan tempoh hari, dia tidak pernah lagi menghubungi Amirah atau keluarganya. Dia sendiri teramat sibuk dengan kontrak untuk menumbangkan Salman dan organisasinya.

              “Assalamu’alaikum.” Suara yang mulus keluar menggetarkan bukan sahaja gegendang telinga, tetapi juga jiwanya.

              Faisal tersenyum lebar, walaupun baru sahaja sebentar tadi dahinya berkerut kerana memikirkan kontraknya. “Waalaikumussalam.”

              “Awak apa khabar?” Amirah bertanya. Walaupun hanya dari corong telefon, Faisal seperti dapat membayangkan wajah anggun wanita itu.

              “Sihat, awak?”

              “Sihat juga, alhamdulillah.”

              Kemudian sepi mengisi suasana.

              “Awak…” Mereka sama-sama berbicara serentak. Kemudian senyap semula, sebelum tawa antara mereka berdua pecah. “Tercakap sama-sama pula.” Faisal menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal. Amirah masih tertawa sedikit.

              “Awaklah cakap dahulu. Awak yang telefon saya.” Faisal mengalu-alukan.

              “Ya, em, sebenarnya Ummi dan Abah saya ajak awak dan keluarga datang rumah. Nak berkenal-kenalan. Sambil terus merancang untuk majlis pernikahan dan perkahwinan kita.” Nada Amirah malu-malu.

              Wajah Faisal merah sedikit. Panas. Nikah. Kahwin. Hampir sahaja dia terlupa bahawa dia sedang bergerak ke arah itu. Peluang untuk dia mendapat kehidupan baru.

              Bertemu Ummi dan Abah Amirah? Dalam keadaan dia masih ‘kotor’ sebegini?

              “Em, awak. Bagaimana?” Suara Amirah segera menariknya kembali ke alam realiti.

              “Kita tak pernah bincang pun kan, nak kahwin bila?” Faisal teringat.

              “Ya. Em, awak tak nak awal ke? Nak lewat-lewat?” Amirah bertanya.

              Faisal diam sebentar. Mindanya mahu begitu. Dia mahu segalanya berakhir terlebih dahulu, barulah dia selesa untuk membawa Amirah masuk ke dalam hidupnya. Namun, jiwanya membentak. Jiwanya mengajak dia segera melakukan lompatan perubahan. Mengambil peluang dengan segera dan tidak membiarkan peluang ini berlalu begitu sahaja.

              “Umur kita pun dah 28 tahun. Sudah agak tua. Mungkin tidak patut berlewat-lewat lagi. Lagipun, saya yang semangat sangat melamar awak. Takkan saya nak tangguh pula.” Faisal akhirnya bersuara.

              Dia mendengar tawa kecil di hujung sana.

              “Tapi awak tahu kan, saya anak yatim. Ibu saya telah tiada. Hanya ada ayah sahaja.” Faisal bersuara. Identiti Luke sebagai Lutfi telah digunakan untuk mempamerkan seakan-akan Luke merupakan ayah sebenar Faisal. Ini memudahkan pelbagai urusan Faisal ketika dewasa, seperti masuk ke sekolah dan universiti. Tiada siapa tahu identiti sebenar Luke.

              “Ya, saya tahu. Bawalah ayah awak ya, hujung minggu ini. Hari Sabtu tengahari. Kita jumpakan kedua-dua keluarga kita. Kemudian di sana bolehlah kita tetapkan tarikh dan sebagainya. Saya akan berikan awak alamat rumah saya.”

              Faisal mengangguk. Kemudian tersedar yang Amirah bukan berada di hadapannya. “Baik.” Segera dia bersuara.

              “Jaga diri awak baik-baik Faisal. Awak sentiasa di dalam doa saya.”

              “Awak juga, Amirah. Jaga diri.”

              Mereka berbalas salam, dan talian dimatikan. Telefon pintar diletak ke tepi.

              Faisal memandang telefon pintarnya itu dan menghela nafas. Dia kemudian menelentangkan tubuhnya di atas sofa panjang. Kepalanya menoleh ke kiri, tempat barisan senjatanya tergantung. Seterusnya dia menoleh ke kanan, memandang almari yang menempatkan sutnya.

              “Apa yang sebenarnya sudah aku lakukan?”

              Faisal berkecamuk.

              Kadangkala dia merasakan bahawa tindakannya untuk berumahtangga dengan Amirah ialah tindakan yang bodoh. Tetapi entah mengapa, jiwanya kuat menyatakan bahawa dia berada di atas jalan yang betul. Jiwanya kuat menolaknya untuk bergerak menempuh jalan agar dia dan Amirah bersatu. Seakan-akan di hujung sana ada jalan keluar untuk permasalahannya.

              Tetapi dia teringat kata-kata Luke.

              Bagaimana jika dia menyeret Amirah ke kancah yang lebih buruk?

              “Ah, nak kena hubungi Bapa pula.”

              Faisal bangkit dan segera mencapai semula telefon pintarnya. Nombor Luke dicari di senarai kenalan, sebelum dihubungi.

              “Bapa, nak minta tolong.”

              Biarlah dia bertemu terlebih dahulu dengan keluarga Amirah.

              Mungkin di sana ada lagi petanda-petanda yang mampu menenangkan jiwanya dengan keputusan yang dilakukan.

*******

Luke memasukkan semula telefon pintarnya ke bahagian dalam jaketnya.

              “Faisal?”

              Luke mengangkat wajah, memandang Maximus yang mendekatinya. Luke mengangguk.

              “Ada apa?”

              Luke tersengih. Menggeleng. “Izrail dilamun cinta. Bayangkan.”

              Maximus melabuhkan punggung dan duduk di sisi Luke. Berkerut dahi dia mendapat khabar tersebut.

              “Dia ada ‘girlfriend’?”

              Luke menggeleng. “Bukan ‘girlfriend’. Tetapi benar-benar mahu menjadikan perempuan itu sebagai isteri.”

              “Kahwin? Hem.” Maximus mengeluarkan cerutnya dan menyalakan pemetik api. Kemudian pemetik api dikembalikan ke dalam poket. Cerut dihisap sepuasnya, sebelum asap berkepul-kepul dilepaskan.

              “Ini dia minta aku menemaninya ke rumah perempuan tersebut.”

              “Orangnya bagaimana?”

              Luke menjungkit bahu. Tidak tahu.

              “Khabarkan kepadaku perkembangan.”

              Luke terangguk-angguk.

              “Bagaimana dengan misi rahsia kita?”

              “Semuanya berjalan lancar.”

              Maximus tersenyum lebar.

              “Bagus-bagus. Tidak lama lagi nampaknya. Ada beberapa misi lagi perlu kita jayakan sebelum kita benar-benar mampu memberikan gegaran besar!” Senyuman bertukar menjadi tawa.

              “Boss tidak mahu masukkan sekali Faisal di dalam rancangan kita?”

              Maximus menggeleng. “Aku khuatir dengan perkembangannya yang terkini. Biarkan dia melaksanakan projeknya, tanpa mengetahui ‘big picture’. Aku tidak mahu rancangan kita gagal. Sampai masanya, jika semuanya baik, dia akan tahu juga.”

              Luke mengangguk. Benar. Faisal kini sudah seperti ‘orang luar’ bagi organisasinya. Namun masih merupakan aset yang paling bernilai.

              Luke berharap Faisal tidak salah memilih masa hadapannya.